Sebelum tertubuhnya Sekolah Melayu Plang, Kanak-kanak Kampung Plang,
Keledang dan Chorong terpaksa berjalan kaki ke Sekolah Melayu Kampung
Alai. Jarak yang jauh dan terpaksa merentas rimba menyebabkan ramai
kanak-kanak di tiga buah kampung tersebut tidak bersekolah.Mereka
bimbang dan takut serangan binatang buas seperti harimau dan
sebagainya. Ramai pula di antara mereka terpaksa berhenti sekolah
sebelum tamat persekolahan kerana tidak sanggup menghadapi pelbagai
bahaya.
Pada awal tahun 1920 an, Tuan Berkeley, Pegawai Daerah
Gerik telah melawat ke Kampung Plang. Beliau telah berbincang dengan
Ketua Kampung Plang ketika itu, iaitu En. Wan Wahab b. Wan Abdullah.
Mereka berbincang tentang masalah persekolahan kanak-kanak di Kampung
Plang. Beliau sangat terharu apabila dimaklumkan bahawa ramai
kanak-kanak kampung itu tidak bersekolah. Beliau juga faham tentang
masalah dan kerumitan kanak-kanak untuk ke sekolah. Lantaran rasa
perihatin itu, beliau mengarahkan pihak Jabatan Pelajaran Perak
menghantar seorang guru ke Kampung Plang.
Hasil dari lawatan dan
perbincangan tidak rasmi inilah yang membawa kepada tertubuhnya sebuah
sekolah di Kampung Plang pada tahun 1920. Sekolah ini dinamakan Sebagai
Sekolah Melayu Kampung Plang. Guru Besarnya yang pertama ditugaskan di
sekolah ini ialah Tuan Hj. Shariff. Bangunan pertama sekolah ini,
dibina secara gotong-royong oleh penduduk Kampung Plang. Tapak bangunan
sekolah ini terletak diBatu 12 1 / 2 jalan ke Kroh sekarang. Pada awal
penubuhannya, bilangan muridnya hanya seramai lebih kurang 10 orang sahaja.
Memandangkan kepada lokasi tapak
yang kurang strategik dan beberapa masalah lain seperti masalah air,
kawasan yang sempit serta agak jauh dari kawasan penempatan penduduk,
akhirnya tapak lokasi sekolahan itu telah dipindahkan pula ke Batu 12
Jalan Gerik ke Kroh pada tahun 1928.Walau bagaimanapun, tapak baru ini,
masih lagi sempit. Cuma ia tidak menghadapi masalah air dan berdekatan
dengan penempatan penduduk. Bangunan sekolah di tapak baru ini, dibina
dengan lebih kukuh, iaitu berlantaikan simen dan beratapkan zink.
Bangunan ini dikenali sebagai Sekolah Melayu Plang.
Pada tahun 1930an dan 1940an, sekolah ini mempunyai murid seramai 60 orang dari Kampung Plang dan Kampung Lalang. Pada awal tahun 1950an, bilangan murid sekolah ini semakin merosot hingga
kepada 30 orang murid sahaja. Hal ini berlaku kerana penduduk Kampung
Lalang telah membina sekolah mereka sendiri. Selain dari itu, kerjasama
yang kurang diberikan oleh kebanyakkan ibu bapa murid juga menyebabkan
ramai murid hanya bersekolah separuh jalan. Kekurangan murid ini
menyebabkan Jawatankuasa Sekolah telah menerima arahan untuk menutup
sahaja sekolah ini pada tahun 1958.Walau bagaimanapun, Jawatankuasa
Sekolah Plang tetap mempertahankan agar sekolah ini tidak ditutup.
Akhirnya
pada tahun 1960an bilangan murid sekolah ini telah bertambah semula.
Pertambahan ini adalah ekoran aktiviti penerokaan tanah oleh seramai
lima puluh keluarga dari Kedah. Penempatan baru itu dikenali sebagai
Kampung Air Musang dan Kampung Rancangan Plang.Selain dari itu, ramai
juga penduduk dari luar yang berhijrah ke Kampung Plang untuk bekerja
sebagai penoreh getah.
Pertambahan penduduk ini menyebabkan
berlakunya pertambahan bilangan murid di Sekolah Melayu Kampung Plang.
Lanjutan dari itu, pada tahun 1963 satu cadangan untuk membina sebuah
sekolah baru telah dipersetujui. Bermulalah kerja-kerja meratakan tapak
pada awal bulan November 1963 di tanah Lot 1189 seluas 3 ekar 34 kaki
persegi. Sekolah baru ini dibina pada bulan Februari 1964. Bangunan
baru ini mempunyai 3 bilik darjah .dan sebuah pejabat untuk guru besar.Sebuah rumah guru juga telah dibina
untuk keperluan guru-guru yang datang luar dari luar Daerah Gerik.
Sekolah baru ini juga mempunyai kemudahan bilik air, tandas dan sebuah
padang permainan. Bangunan yang siap ini mula digunakan secara rasminya
pada 1 Mac 1964. Pada tahun 1969 pula, kelas untuk murid tahun 6 telah
diadakan. Ini memberikan kemudahan kepada murid-murid tahun 5 yang
dahulunya terpaksa menyambung persekolahan Darjah 6 mereka di sekolah
Kampung Lalang atau di Gerik.
Bilangan murid-murid di Sekolah
Kebangsaan Plang terus meningkat dari tahun ke tahun. Akhirnya pada
tahun 1982, sebuah bangunan tambahan telah dibina. Bangunan ini
mempunyai 3 bilik darjah dan sebuah pejabat Guru Besar. Mulai tahun
1982, bilangan murid-muridnya telah meningkat sehingga melebihi 200
orang dan bilangan gurunya pula menjadi 9 orang. Pada tahun 1985
sekolah ini telah mendapat sebuah bangunan kantin dan 4 unit tandas
kekal. Pada tahun 2001 pula, sebuah makmal komputer
telah dibina. Makmal ini di lengkapi dengan 11 unit komputer dan satu
set daripadanya lengkapi dengan Internet.Pada tahun 2006, sekolah ini telah mendapat satu peruntukan untuk
membina laluan berbumbung dari bangunan kelas sehingga bangunan tandas
sekolah. Di samping itu juga, tingkap-tingkap kayu kelas bangunan asal
sekolah telah digantikan dengan tingkap jenis “ naco ” dan dinding kayu
dewan sekolah ditukar dengan roller-shutter yang baru untuk memudahkan
kerja-kerja pembukaan dan penutupan dewan apabila perlu menggunakan
dewan sekolah yang diubahsuai daripada bilik-bilik kelas sekolah.
Sebuah pondok basikal telah dibina untuk membolehkan murid-murid yang
berbasikal ke sekolah mempunyai satu tempat untuk meletakkan basikal
mereka dariapda dibiarkan di merata tempat.
Dalam tahun yang
sama juga, seluruh kawasan sekolah telah digantikan dengan pagar baru
bersimen melalui peruntukan daripada Bahagian Pembangunan Luar
Bandar Pejabat Daerah Hulu Perak. Blok bangunan asal sekolah dan
pejabat dicat semula. Sebuah stor pekerja telah dibina untuk menyimpan
peralatan sekolah.
Pada tahun 2007, pondok pengawal keselamatan
yang usang telah digantikan dengan pondok baru dan beberapa kemudahan
tambahan telah dibina. Sebuah bilik kelas telah diubahsuai untuk
dijadikan Bilik Pemulihan dan Bilik Pusat Akses. Dalam bidang TMK pula,
sekolah ini telah mendapat tajaan untuk menggunakan program Score-A.
Dalam tahun yang sama, sebuah bangunan prasekolah telah dibina dan mula
beroperasi sepenuhnya pada awal tahun 2008.
Dalam tahun 2008,
bangunan prasekolah ditambah dengan ruang makan dan dipagar semula
dengan pagar bersimen. Lencana sekolah telah dilukis di atas dinding
bangunan asal sekolah oleh pelajar-pelajar Universiti Walailak Thailand
yang hadir untuk progam anak angkat antara universiti tersebut dengan
UiTM Perak pada awal bulan Mei 2008 dan diikuti dengan penulisan nama
sekolah oleh Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan Daerah Hulu Perak,
Larut Matang dan Selama serta Kampar. Sekolah ini juga telah mendapat
tajaan program Ulangkaji e-Learning di bawah tajaan Ahli Parlimen
Gerik. Pada penghujung tahun pula, pihak sekolah juga telah menerima
satu peruntukan untuk kerja-kerja menyediakan dua pemegang gril tangga
untuk laluan bertangga ke bangunan prasekolah dan dari blok B ke blok C
serta dua unit pemisah kelas. Hasil lawatan Timbalan Ketua
Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia, sekolah ini telah dibekalkan
dengan satu (1) unit kabin yang mengandungi dua kelas untuk mengatasi
masalah kekurangan kelas pada awal bulan Disember dan kabin tersebut
siap untuk digunakan untuk sesi persekolahan tahun 2009.
|